Saturday 21 December 2013

Gotong-royong selepas banjir...


Sabtu, 21 Disember 2013, sekolah saya mengadakan gotong-royong selepas banjir.  Maklumlah sekolah saya merupakan pusat penempatan mangsa banjir dan  banjir baru-baru ini menyebabkan keadaan sekolah agak berselerak.  Alhamdulillah kami menerima bantuan daripada RELA, para pelajar dari Politeknik Metro Kuantan dan juga pelajar-pelajar dari Universiti Tenaga Nasional kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadam Shah, Pahang.  Ada juga penduduk kampung sekitar yang datang membantu. Masing-masing sibuk menolong.  Ada yang mencuci longkang, mencuci kelas, membersihkan lantai yang berselut, mengemas bilik J-QAF, Bilik Guru dan sebagainya.  Kami sebagai tuan rumah sangat berbesar hati dengan bantuan yang dihulurkan.  Hanya ucapan terima kasih yang mampu dilafazkan sebagai tanda penghargaan.

Sama-sama cuci longkang...

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing...

Membersihkan gelanggang.... 

Adik-adik pelajar yang datang menolong...TQ

Sesi mencabut bahan pada papan kenyataan kelas

Bahan ni nak guna lagi tak......

Apalah agaknya yang mereka bualkan...serius je...

Sesi bergambar....senyum semua...klik...

    

Tuesday 17 December 2013

Banjir...ujian atau musibah...?

Apabila menatap gambar banjir yang berlaku baru-baru ini, terasa betapa kerdilnya diri kita sebagai manusia.  Betapa Allah Maha Berkuasa dan mampu melakukan apa sahaja.  Hujan yang turun selama beberapa hari boleh menyebabkan banjir dan menenggelamkan segala harta benda, meragut nyawa dan apa sahaja yang ada.  Terdetik dihati...inilah ujian dan mungkin juga musibah kepada kita agar menginsafi diri dan kembali ke jalan yang benar.  Mungkinkah ini sebagai pengajaran kepada kita bahawa apa sahaja yang kita buat perlu selari dengan kehendak Islam. Teringat kisah nabi Nuh as yang terselamat bersama kaumnya yang beriman.  Namun anak kesayangannya tenggelam dalam lautan dalam. Semoga banjir yang berlaku menginsafkan kita bahawa Allah swt berkuasa atas segala-galanya.  Tidak perlulah kita mendabik dada dan bersikap sombong kerana kehidupan ini ada akhirnya....

Sekolahku juga ditenggelami air...pusat pemindahan banjir.

Bandar Kuantan dilanda banjir...

Air mula naik...

Saturday 23 November 2013

Cuti sekolah datang lagi.....

Alahai...lamanya tak update blog. Bukannya dah tak minat menulis cuma kesibukan dunia menghadkan masa menulis. Selepas seminggu berkursus kssr bm tahun 4 iaitu pada 28 sehingga 31 Oktober, sibuk pula dengan Karnival Mini Sukan, disusuli pula dengan Hari Anugerah Kecemerlangan pada 19 November. Aduh...rasa macam tak terkejar. Ditambah pula dengan assignment yang masih tertunggak...begini le kalau belajar dalam usia yang lewat. Bekerja dan belajar....semoga Allah memberiku kekuatan dalam meneruskan pelajaran sehingga berjaya mencapai matlamat. Semalam sempat meluangkan masa melawat anak di MTNP.  Alhamdulillah....semoga anak-anakku dan anak-anak muridku berjaya menjadi anak yang soleh dan solehah. Anak yang sentiasa mencintai Allah swt dan Rasul-Nya. Mudah-mudahan Allah swt mempermudahkan urusan mereka dalam menuntut ilmu.  Dalam waktu yang terbatas sempat jugalah memilih dan membeli blause untuk anak-anak.  Tiap kali nak balik kampung, begitulah selalunya.  Masing-masing nak baju baharu...hmm...oh, ya sekarang ni dah cuti sekolah. Anak-anak pun dah sibuk bertanya nak bercuti di mana ?  minggu pertama dan kedua ni...nampak gayanya bercuti di rumah ajelah...menunggu assignment emak dan ayahnya siap.  Lagi pun, kenduri kahwin anak saudara suami pada 30 November....masalahnya kenduri anak saudara sebelah sendiri pun ada...majlis bertunang pada 1 Disember...nampak gayanya tak dapat hadir le.... sedih la..

Murid-murid prasekolah 2013 


Wednesday 19 June 2013

Selamat Hari Guru

Dah lama tak menjenguk ke blog ni.  Sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga langsung tak punya masa untuk menulis.  Tambahan pula, peperiksaan untuk semester lima belum selesai.  Masih ada subjek Seni Mengarang, Sukan Sepanjang Hayat dan Sintaksis yang perlu dihadap.  Hendak tak hendak terpaksalah juga curi-curi masa menelaah modul.  Tawakal jelah. Yang tak dayanya, minggu ni juga banyak aktiviti yang perlu dihadiri atas arahan PPD.  Aduhai....semoga Allah swt permudahkan segala urusan.  Nampaknya, tahun ni giliran Pekan jadi tuan rumah untuk sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang.  Namun, dek kerana hari tu kawe ada peperiksaan, tak dapatlah kawe menghadirinya.  Apapun, dapat menyambutnya di peringkat sekolah pun tak mengapalah...walaupun ringkas namun meriah. Sambutan Hari Guru di sekolah kawe disambut pada 22 Mei 2013, lewat daripada tarikh sebenar disebabkan oleh hal yang tak dapat dielakkan.  Tak apalah yang penting kami warga guru sangat seronok dan gembira dengan majlis ini.  Sebelum majlis, kami diagihkan kepada beberapa tugas.  Seperti biasa, kawe kena bahagian backdrop.  Puas juga memikirkan bagaimana nak menghias pentas dengan budget yang kecil.  Takkan nak letak belon je...akhirnya kawe rasa bahagian hadapan pentas guna aje alam semulajadi.  Kawe pun minta tolong dengan pekerja carikan pokok pinang, pokok sepit udang dan puding merah yang ada ditanam dikawasan sekitar sekolah.  Maka bermulalah sesi gubah menggubah.  Kawe buat dalam 13 pasu untuk hiasan depan pentas.  Dah siap, disusun elok-elok di depan pentas, lekatkan banner yang telah siap dan tampalkan aje ape-ape yang patut.  Hmmm....okaylah..yang penting kerja selesai dan semua orang berpuashati.


Kek yang sedap di hari guru.


Murid-murid Skpr.


Saya potong kek sempena hari lahir dan hari guru 2013.


Santai di hari guru.


Pavlova hasil tangan cikgu Mariatul Kibtiah.

Friday 22 February 2013

SABAR, IKHLAS DAN REDHA

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Setelah berehat agak lama, musim-musim sibuk datang semula.  Assignment dah muncul dan kerja-kerja di sekolah semakin bertambah.  Baru semalam menghadiri Program Bina Upaya Panitia Daerah Pekan di dewan masjid Sultan Haji Ahmad Shah.  Perkara utama yang disentuh ialah Headcount dan MMI.  Penerangan yang diberi oleh pegawai PPD menarik dan ada input-input terkini yang perlu diberi perhatian oleh guru-guru.  Masing-masing khusyuk mendengar....harap-harap biarlah semangat untuk mendidik anak bangsa terus menyala.  Walaupun bebanan tugas tetap ada namun cuba ikhlas dalam melunaskan tanggungjawab yang diberi.  Lebih-lebih lagi kerja adalah ibadah.  Walaupun penat namun perjuangan tetap diteruskan.  Semoga diberikan kekuatan oleh-Nya dalam menjalankan tugas.
KUALITI GURU MERUPAKAN PENENTU UTAMA PRESTASI PELAJAR

Tuesday 15 January 2013

MRSM....Cabaran bermula

Hari ini 15 Januari 2013 hari Selasa, sibuk menguruskan pendaftaran anak ketiga di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan.  Sampai ke mrsm dalam pukul 9.30 pagi.  Urusan pendaftaran berjalan lancar.  Yang menariknya pelajar sendiri diminta menguruskan pendaftaran mereka sehingga selesai.  Hmm...sesuatu yang positif dan memberi peluang kepada pelajar berdikari.  Tidaklah 100% mengharapkan ibu bapa menguruskannya.  Pelajar-pelajar di situ sendiri memberikan kerjasama dan rajin membantu.  Selesai mendaftar,  bergerak pula ke koperasi membeli keperluan persekolahan disitu.  Selepas itu aktiviti biasa....apalagi kalau bukan mengangkut segala barang keperluan ke asrama.  Alhamdulillah...kemudahan yang disediakan memuaskan.  Satu bilik tiga orang....selesa dan harap-harap mereka yang belajar di situ tidak mensia-siakan peluang yang ada.  Itulah harapan yang tersimpan di hati.  Selesai di asrama,  bergerak ke dewan pula.  Ucapan daripada Tuan Pengetua.....penerangan yang jelas diberikan oleh beliau berkaitan program IGCSE yang dijalankan di maktab ini.  Nampaknya, pelajar-pelajar di sini sangat bertuah kerana berpeluang menuntut ilmu di sini. Selesai di dewan, kami diminta bertemu mesra dengan guru homeroom anak masing-masing.  Beberapa persoalan dikemukakan dan diharapkan sepanjang menuntut ilmu di sini mereka akan memperolehi kejayaan yang diharapkan.  Selesai perjumpaan, masing-masing membawa anak ke bandar untuk mengisi perut....dah tengah hari, masing-masing sudah lapar.  Anakanda saya relax aje..tak sedih pun...agaknya tak nak tunjuk..takut dilabel anak manja.  Harap-harap dia boleh menyesuaikan diri dan dapat belajar dengan baik...semoga cita-citanya untuk menjadi seorang doktor sakit puan tercapai..Amin.  Sebagai ibu, saya hanya mampu mendidik dan mendoakannya.  Selamat Belajar Anakku!